SATU daripada tuntutan dalam syariat Islam yang diwahyukan oleh Allah SWT ke atas umat-Nya ialah anjuran supaya berusaha dan bekerja untuk mendapatkan rezeki halal selain kejayaan di dunia ini. Masalah utama umat Islam zaman ini ialah gemar meminta-minta tetapi malas untuk berusaha demi kebaikan semua.Akibatnya, berlaku banyak peristiwa yang membawa kehancuran serta kerugian kepada dunia Islam, seperti kekurangan profesional dalam bidang sains.Dalam masa sama, seteru Islam mengambil kesempatan atas sikap malas umat Islam dan akibatnya, banyak perkara dalam pelbagai bidang yang dikuasai generasi lalu dalam zaman keagungan Islam gagal dicapai umat Islam hari ini.
Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad), beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan rasul-Nya serta orang yang beriman dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian dia memberitahu kepada kamu apa yang kamu telah kerjakan.” (At-Taubat ayat 105).Ayat di atas jelas menunjukkan kepada umat Islam supaya sentiasa berusaha dan bekerja, selain menyeru manusia menunjukkan kesungguhan dalam hidup bagi mencapai kecemerlangan di dunia dan akhirat.
Di dalam satu hadis, Rasulullah SAW melarang umatnya untuk hidup meminta-minta. Sabda baginda: “Sesungguhnya salah seorang kamu mengambil seutas tali, lalu dibawa bersama sejumlah kayu yang diikat itu di atas bahunya. Lalu ia menjualnya, maka Allah SWT akan menutup wajahnya (tidak mengaibkannya) lebih baik baginya daripada hidup meminta-minta sama ada mereka memberinya atau tidak.
Selain kekurangan dalam bidang berteknologi tinggi, segelintir umat Islam hari ini tidak kisah bagaimana mereka mendapatkan rezeki tanpa mengira sama ada ia mendatangkan keberkatan selain keredaan daripada Allah SWT.Hakikatnya, ada juga yang tamak dan lupa diri apabila berjaya hingga menyisihkan mereka yang memerlukan bantuan seperti zakat dan sebagainya.Bagi memastikan usaha selain kerja yang kita laksanakan mendapat keredaan selain keberkatan, beberapa langkah perlu diambil iaitu niat yang ikhlas semata-mata kerana Allah SWT dan memastikan kerja yang dilaksanakan tidak bertentangan dengan syariat Islam.
No comments:
Post a Comment